Tahun 3.
Tahun ini hidup serba tak keruan. Hidup di bawa angin. Umpama layang-layang. Angin ke kiri aku ke kiri angin ke kanan aku ke kanan. Penat hidup sebegini, hidup tak punya arah.
Terasa kadang mahu putus asa. Mahu putus asa dengan diri sendiri pemilik dosa. Jikalau bukan kerna rahmat Tuhan aku bernafas.
Nafas umpama robot, tak punya jiwa. Ke mana jiwa pergi aku tak pasti.
Sudah aku katakan hidup ini susah. Kalian makhluk sperm dan ovum tak mahu percaya. Lagi sembilan bulan kalian nilai sendiri. Hidup ini susah. Susah bila kau hilang jiwa.
Aku belek-belek buku berjudul 'Khusyuk'. Harga tak mahal 3 JD, sekali buat bisnes syawarma boleh cover dua puluh naskah. Tak seperti buku gah lain yang selalu ku punya. Harga kadang cecah harga siling, tajuk mahu gempak. Palestin! Dakwah! Tarbiyah!
Tapi buku nipis ini menjentik hati. Hati memberontak mahu beli. Seumpama ada kuasa elektrik.
Aku penat dengan dunia. Kadang-kadang buat aku mengah. Kadang-kadang buat aku mahu menangis. Tapi bila kulihat pak cik tua menolak bakul mencari secebis harapan di celahan tong besar, aku arah 'Mata kau berhenti nangis sebelum aku tumbuk kau. Otak sekali lagi kau sebut putus asa aku sambung kau dengan wayar elektrik'
Buku ini umpama ingin ingatkan aku, "Kau penat cakap degang-degang, otak solat sampai ke Pendang tak payah sembang kencang"
2 3 helai aku belek. Ahh tersentuh. Ku tutup semula. Aku mula menaip entri blog.
Begitulah hidup pendakwah zaman moden, touching sikit semua mahu di Instag, semua mahu di Facebook semua mahu di Twitter. Kononnya, aku kongsikan walau sepotong ayat. Konon!
Hati kau sudah betul dikongsi sepotong ayat atau bajet sahaja. Manusia bajet!
Habis tu ketawa kenapa masih kuat, padahal engkau kongsikan 'jangan gelak banyak nanti hati mati'. Kenapa makan banyak padahal kau yang kongsi 'hidup daie kena sihat'. Makhluk bajet, wahai dunia saksikan kami.
Tahun 3.
Tahun yang melelahkan. Aku kata aku tak mampu tapi orang kata aku tipu. 'Kau boleh!'
Hidup dengan harapan orang, bukan namanya hidup.
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, sesungguhnya Aku dekat."
Aku tahu Kau dekat.
Percayalah Aku dekat. Lagi dekat dari urat darahmu.
Lagi dekat dari Facebook. Lagi dekat dari Instag.
Aku tahu. Ampunkan aku.
Ampunkan kami.
Irbid.
2224